Semester kedua di UPSI berlalu bagai angin semilir yang bertiup sepi. Selesai kelas Dr Nurul tadi bermakna tiada lagi toleh ke belakang bagi kami pelajar-pelajar DPLI Fizik 2009. Sepatutnya segala ilmu yang disampaikan oleh paduan tiga tenaga pengajar ini, kami garap dan cernakan untuk bekalan di bawa ke sekolah semasa praktikum seterusnya meniti hari sebagai warga pendidik nanti.
Namun, segalanya aku rasakan bagai angin lalu yang hanya memberikan ketenangan di kala tiupan yang mendamaikan. Tiada lagi ketenangan apabila segalanya berakhir. Timbul segala keserabutan dan kekusutan kembali di benakku sama ada mampukah aku menjadi guru Fizik yang efektif?
Sessi ulangkaji atau flash back yang kami lalui tadi aku rasakan sangat panjang. Bukan kerana kebosanan, tapi kebimbangan dan kerisauan yang menyelubungi diri kerana jauh di sudut hati ini masih terdetik, “ini aku tidak tahu, itu lagilah aku tidak tahu”. Terasa bagai dipanah halilintar apabila di saat akhir ulangkaji kami dikehendaki menyiapkan concept map. Bagai satu beban berat menghempap bahu yang tidak tertanggung aku rasa. Mungkin kerana tidak pernah menyedari hakikat kepentingan konsep ini atau kerana kurangnya pendedahan membuatkan aku rasa berat sekali untuk mempraktikkannya sebagai wadah pengajaran nanti. Menurut Dr Nurul, seandainya seseorang sudah memahami dengan mendalam dan mempunyai keupayaan membina ayat dengan lancar, pastinya tiada masalah untuk menguasai konsep ini. Adakah aku tidak memahami content apa yang aku pelajari ini? Atau mungkin lebih malang lagi adakah aku tergolong dalam golongan mereka yang tidak mampu membina ayat? Persoalan-persoalan ini terus menerus menghantui fikiran aku. Andai konsep ini tidak aku kuasai, masakan aku mampu menjadi pendidik yang efektif.
Saat aku menulis refleksi ini, suasana malam sungguh tenang membuatkan aku berpeluang meneroka ke seluruh akal dan mindaku. Bermuhasabah kembali apakah sebab musabab aku masih berkecamuk dan gagal menguasai konsep penting ini. Faktor pertama yang aku temui ialah kurangnya kesedaran seterusnya membawa kepada tiada usaha untuk meningkatkan kefahaman untuk memahirkan diri menguasai konsep map ini. Di dalam kelas biarpun aku cuba untuk membina satu peta konsep, namun aku sendiri sedar bahawa aku tidak mampu membinanya sekadar dengan usahaku sendiri. Malangnya, apabila pulang ke rumah, tidak pula aku mengambil inisiatif untuk menjadi master peta konsep. Sebaliknya, nota dan buku entah ke mana aku tinggalkan. Atau beban assignment lain aku jadikan dalih dan alasan membela diri sendiri.
Kedua, aku masih belum mampu melihat keberkesanannya andai diaplikasikan di sekolah. Jauh di sudut hati aku masih terdetik, gabungan “chalk and talk” dan beberapa teori konstruktivisme sudah memadai untuk meningkatkan pemahaman dan penguasan murid. Apa perlunya konsep map yang boleh disifatkan sebagai membebankan ini? Aku hampir menidakkan betapa peri pentingnya mengolah dan mempelbagaikan alternatif pengajaran. Silap yang sepatutnya aku perbetulkan dengan kadar yang segera.
Faktor ketiga yang membuatkan aku seakan mengabaikan kepentingan konsep ini ialah aku sendiri tidak dapat menguasai kemahiran untuk mengajar murid untuk mahir berkomunikasi dengan “learning outcomes”. Inilah salah satu daripada 3 strategi yang penting untuk pembelajaran Fizik yang efektif. Sedangkan, seharusnya seorang guru Fizik yang berjaya perlulah mampu untuk mengajar muridnya berkomunikasi dengan “learning outcomes”. Selain verbal, bentuk penulisan berpandukan konsep map adalah salah satu cabang utama mengutarakan kefahaman mereka.
Setelah mengetahui faktor-faktor ini, aku cuba mendapatkan perspektif daripada kawan-kawanku. Rata-rata mereka semua berpendapat sama dengan aku yang konsep map ini sangatlah sukar untuk dikuasai. Jawapan yang mereka berikan aku yakin betul bukanlah satu kata-kata penyedap hati, sebaliknya memang mereka juga berhadapan dengan situasi yang sama.
Lamunan aku terhenti apabila aku teringat teori yang aku belajar di dalam kelas Pedagogi semasa Semester 1. Salah satu teori pembelajaran yang aku belajar ialah kaedah pembelajaran mastery yang dengan jelas mengutarakan hakikat sebenar seorang pelajar ialah tiada seorang pon yang bodoh atau tidak mampu menguasai sesuatu topik pembelajaran. Sebaliknya, apa yang penting ialah faktor masa; samada capat atau lambat seseorang itu memahirkan sesuatu konsep atau topik. Samalah keadaannya dengan diriku sekadar.
Inilah penemuan atau kesedaran yang aku telah belajar secara tidak langsung. Praktikal yang terus dapat aku jalankan daripada teori yang telah aku pelajari dahulu. Asalnya, aku hanya belajar teori ini untuk peperiksaan ataupun untuk dipraktikkan di dalam kelas pengajaranku nanti. Sebaliknya, aku sekarang telah boleh mengadaptasikan dalam diriku sendiri. Menjelang saat dan detik waktu ini, aku telah mencuba satu peta konsep yang sangat ringkas dan berjaya mencapai apa yang telah aku tetapkan. Kalau dibandingkan konsep map yang dibina oleh Dr Nurul di dalam contohnya, amatlah jauh darjatnya seakan langit dan bumi, namun aku puas kerana ia dihasilkan dengan usahaku sendiri.
Kejayaan ini seterusnya menguatkan tekad dan semangat aku untuk mengimplementasikan di dalam kelas pengajaranku nanti. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Aku yakin dan pasti, anak muridku nanti akan merasaikan kesusahan di peringkat awal. Inilah peluang untuk aku naikkan motivasi mereka dan menanam semangat juang. Ambillah masa untuk berjaya. Yang penting, jangan patah semangat. Dalam berjuang tiada istilah berputus asa.
Aku masih ingat kata-kata Prof Madya Abd Rahman Mustafa, Timbalan Rektor Kolej Universiti Insaniah dalam ucapannya di majlis pendaftaran pelajar-pelajar baru tahun 2008 yang aku hadiri kerana menghantar saudaraku. “Andai manis engkau kecapi di awal perjuangan, itu hanyalah secebis bingkisan daripada duri dan ranjau yang akan menimpa di sepanjang jalan dakwah. Tiada yang mudah dalam berjuang, kerana itulah mahar untuk ke syurga”. Untaian kata-kata penuh makna ini, aku pahatkan dalam hatiku untuk terus maju jaya dalam setiap apa yang aku lakukan. Biar segala kerja dan amalan yang aku lakukan menjadi ibadah dan boleh memberikan hasil di hari sana.
Mulai sekarang, aku cuba membetulkan niatku dalam perjuangan ini. Segala yang tidak aku fahami aku bincangkan dengan kawan-kawan. Aku rujuk buku dan artikel yang berkaitan. Juga, aku gunakan capaian internet untuk terus meningkatkan pemahamanku sebagai modal menjadi seorang guru yang cemerlang.
Semoga semangat perjuangan harmoni ini tidak berakhir di sini sahaja. Kerana hijau bumi Tuhan ini akan sentiasa menjadi hamparan permaidani indah untuk membawa aku ke jalan yang diredhai dalam usaha mendidik anak bangsa.
Thursday, July 2, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment