Thursday, July 2, 2009

Reflection after macro-teaching

Suasana di luar bilik tenang. Kedengaran bunyi sang burung berkicauan. Ketenangan hari ini aku harap dapat diserap ke dalam jiwa dan raga ini. Untuk aku uraikan satu per satu kekusutan dan serabut yang menyelubungi benak fikiran. Fikiran aku bercelaru sejurus selesai persembahan makro teaching aku tadi. Adakah aku sudah menguasai teknik dan kemahiran mengajar yang betul untuk aku ‘persembahkan’ kepada anak muridku nanti? Kadangkala, apa yang kita rasa tidak sedikit sama seperti realitinya.

Begitulah yang terjadi kepadaku sebentar tadi. Segala rancangan yang aku impikan berjalan lancar tidak menjelmakan hasil yang kuharapkan. Ibarat hari yang terang, di tengahari awan berarak mendung lalu menuruni hujan. Topik “understanding nucleus of an atom” tidaklah sesukar mana, namun pengolahan kelas ke arah “inquiry learning” sedikit mengkucar-kacirkan corak persembahan aku. Sedari awal yang aku perasan, topik ini bukanlah lebih kepada pemahaman konsep apatah lagi perkaitan dengan hidup seharian, namun aku cuba juga dengan membawa cara yang mudah difahami oleh pelajar. Berbanding teknik konvensional yang lebih kepada guru menerang-pelajar mendengar, aku kendalikan kelas dengan menbawa pendekatan kontruktivisme.

Aku cuba bertindak sebagai seorang pemdah cara yang dapat menaikkan semangat pelajar untuk terus mengikuti kelasku. Pemberian tugasan kumpulan aku harap dapat memberi wacana kepada pelajar-pelajar untuk mengasah kemahiran komunikasi dan tolak ansur sesama mereka. Seterusnya, pembentangan di hadapan kelas dan sessi soal jawab terbuka aku anjurkan untuk cuba mencungkil minat dan membina semangat mereka. Malangnya, kekangan masa membuatkan aku gagal mencapai objektif yang aku paparkan di awal kelas. Dentingan loceng seakan merenggut semangatku untuk meneruskan kelas. Mungkin inilah yang dinamakan takdir.

Di bilik, seketika aku bermeditasi. Memikirkan kenapa dan mengapa perancangan tidak selancar air mengalir di kali. Akhir aku menjumpai beberapa punca dan faktor. Pertamanya, jelas sekali perancangan yang aku susun belum cukup lengkap dan teliti. Aku telah terlepas pandang kekuatan yang ada pada ‘lesson plan’. Aku cuma membuatnya seakan melepaskan batuk di tangga. Walaupun disemak oleh pensyarah pembimbing, namun aku sendiri dapat rasakan, apa yang aku tulis tidak seikhlas apa yang ingin aku persembahkan. Buktinya jelas lagi bersuluh apabila aku hampir hilang punca di dalam kelas. Aku belajar satu perkara di sini, iaitu aku perlu menyediakan senjata yang cukup sebelum terjun ke medan perang. Ironinya, aku haruslah menyediakan bahan-bahan mengajar bukan saja lesson plan untuk aku aplikasikan di dalam kelas sekaligus menjadikan aku benar-benar bersedia menghadapi karenah anak murid di dalam kelas nanti.

Perkara kedua yang aku sangat sedar akan kepentingannya sebelum memulakan sesuatu hal ialah latihan praktikal. Benar dan bertepatan sekali dengan pepatah Inggeris yang mengatakan “practice make perfect”. Walaupun hakikat kesempurnaan itu datangnya dari yang maha Esa, namun sejarah juga telah menunjukkan betapa kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh menakluk Konstantinopal juga berkat latihan 100 000 bala tenteranya di sebuah pulau. Latihan khas pembentukan tauhid kepada Allah membuahkan hasil yang begitu besar buat tentara beliau. Begitu juga aku. Aku perlukan latihan dan bimbingan sebenarnya. Bukan dengan membuta tuli terjun ke medan perjuangan sebelum dilengkapi dengan perisai atau sekurang-kurangnya tombak dan lembing. Terbukti sekali, apabila kelancaran kelas agak terganggu kerana aku cuba mengadaptasikan segala di depan mata tanpa latihan dan juga persediaan mental yang lengkap. Sekurang-kurangnya, kalau aku berlatih di depan cermin, boleh jugak aku betulkan neck-tie ku yang senget yang dapat jugak mengundang reaksi positif pelajar.

Ketiganya, sifat terlalu takut melakukan kesilapan juga antara punca yang telah aku kenal pasti. Takut dan risau itu bagus, namun terlalu takut telah membuatkan aku terlalu berhati-hati dari segala segi. Bermula dari penyampaian seterusnya kepada pengawasan kelas. Masa yang aku tetapkan kepada pelajar untuk berbincang telah diambil kesempatan oleh mereka untuk bersembang dan berbual kosong. Kepincangan dari segi pengurusan bilik darjah ini aku sedari bila aku memanggil kumpulan pertama membentangkan dapatan yang sepatutnya disiapkan dalam waktu yang telah diberikan, namun mereka memohon sedikit masa ihsan. Aku juga terlalu berhati-hati dengan penyelia sehinggakan mengganggu penyampaian aku menjadi agak tersekat-sekat. Akhirnya, aku sendiri yang hilang punca dan hampir memakan diri sendiri.

Keempat, aku sedar ‘probing further’ akan banyak membantu dalam inquiry learning. Namun topik ini amatlah tidak sesuai untuk aku tanyakan “How do you know?” kalau pelajar mengatakan kewujudan proton dan neutron di dalam nukleus atom. Apa yang sewajarnya aku gunakan ialah teknik ‘ilustrasi’ atau simulasi untuk menerangkan dengan lebih mudah model struktur nukleus sesuatu atom. Penggunaan model seharusnya memudahkan pemahaman. Di sinilah kesilapanku kerana terlalu rigid dengan apa yang telah ditetapkan sehingga menghilangkan nilai kreatif seseorang guru. Aku yakin dan percaya sebenarnya aku ada sikap inovatif kalaupun tidak kreatif. Namun apakan daya, susunan kelemahan dan kebimbangan ini yang terjelma di waktu persembahan, bukannya garapan idea dan dorongan semangat mengajar yang sepatutnya.

Aku sedar dan yakin betul, aku bukan bersendirian berhadapan dengan masalah sebegini. Secara teorinya, jalan penyelesaian yang dicari bukanlah mudah kerana ada sejumlah kawan yang masih ramai berkongsi masalah yang sama dengan aku. Namun, peluang menulis refleksi inilah sebenarnya membuatkan aku berfikir lebih jauh dan mendalam lagi apakah langkah dan tindakan sewajarnya yang perlu aku ambil untuk mengatasi permasalahan ini. Masalah ini mesti aku selesaikan sebelum melangkah ke alam sebenar bergelar guru.

Apa yang jelas, sebelum memulakan sessi pengajaran dan pembelajaran nanti, aku perlu membuat sebanyak mungkin persediaan dengan membuat lesson plan awal seminggu atau mungkin dua minggu bagi persediaan menghadapi sebarang kemungkinan. Tanpa persediaan, sesuatu kelas pastinya goyah dan langkah guru itu akan sumbang dan canggung pada perhatian anak murid. Sesuatu yang patut aku hindari.

Aku akan mengambil kesempatan di kelilingi warga pendidik yang berpengalaman untuk membuat perbincangan sebelum memulakan kelas. Andai ditakdirkan aku dibimbing oleh guru cemerlang, inilah masanya untuk aku gali segala ilmu dan pengalaman untuk aku jadikan bekal berharga di bawa ke hari muka. Perbincangan dengan pakar sebegini aku yakin dan pasti, dapat meningkatkan semangat dan keyakinan untuk melangkah ke dalam kelas.

Pengumpulan bahan bantu mengajar akan aku lakukan dari sekarang dengan mengkoleksikan segala power point yang telah rakan-rakan aku sediakan. Apa yang patut aku ubah akan aku molekkan supaya sesuai dengan kelas yang akan aku hadapi nanti. Sekurang-kurangnya, bahan ramuan asas ada tersedia yang tinggal hanyalah perkakas hiasan.

Takut melakukan kesilapan adalah antara faktor kegagalan. Justeru, memahami kata-kata hikmat tersebut, aku akan lebih memotivasikan diri dengan mendengar kata-kata penaik semangat dari mana-mana pakar motivasi. Setakat ini, koleksi penceramah seperti Dr Fadzillah Kamsah, Dr HM Tuah dan Ustazah Norbayah telah memenuhi ruang mp3 di dalam laptopku. Tidak aku lupakan wajah manis isteri pendorong semangat dan senyuman berseri tanpa dosa anak-anakku. Akan aku abadikan menjadi galakan dan penaik semangat asli yang akan aku adunkan dengan keyakinan diri sendiri.

Moga-moga tekad dan harapan ini dapat memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan diri ini yang serba kedaifan. Kesedaran yang lahir ini bukanlah sekadar untuk membetulkan kesilapan, tetapi juga sebagai panduan menghadapi hari muka denga penuh keyakinan. Aku yakin, guru cemerlang menghasilkan anak didik yang gemilang.

No comments:

Post a Comment